
SHAH ALAM – Umat Islam termasuk golongan gay dan penyokong mereka perlu insaf bahawa bencana yang semakin kerap berlaku pada masa ini seperti tsunami, gempa bumi dan banjir besar, mungkin diturunkan sebagai balasan atas gejala maksiat yang semakin berleluasa.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, setiap bencana adalah peringatan bagi manusia dan kerana itu, mereka tidak boleh menganggap itu sebagai bencana alam semata-mata.
“Ini peringatan untuk mereka yang terlibat, dan kita semua juga supaya jangan hanya melihat dan membiarkannya begitu sahaja, atas sebab hak asasi manusia kononnya. Jika ALLAH turunkan bala, bukan mereka saja yang kena tetapi kita semua (pun kena) juga,” katanya.
Sehubungan itu, kata Harussani, bantahan dan pembatalan program Seksualiti Merdeka 2011 yang membawa mesej tuntutan kebebasan seksualiti sebagai hak asasi individu termasuk yang melibatkan golongan homoseks, lesbian dan transeksual, belum boleh dianggap satu kejayaan.
“Batal satu perkara, tetapi kita kena tengok juga kepada usaha untuk menyebarkan hubungan songsang itu yang saya percaya akan terus merebak. Ini yang perlu kita hentikan termasuk golongan mak nyah iaitu lelaki berpakaian seperti wanita yang perlu dicegah. Ini kerana mereka juga termasuk dalam golongan dilaknat ALLAH,” katanya.
Sehubungan itu, kata Harussani, kerajaan perlu bertindak tegas untuk memastikan kecenderungan seks songsang yang boleh meruntuhkan masyarakat dan negara tidak terus merebak sehingga keadaan menjadi tidak lagi terkawal.
“Mereka (kerajaan) boleh gunakan apa saja pendekatan sama ada dengan langkah tegas mengikut undang-undang ataupun menerusi program pendidikan dan nasihat supaya mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.
