
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini menyifatkan program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini cuba mempromosikan budaya ‘binatang’ di kalangan rakyat.
Ini kerana tegasnya, matlamat program itu yang menghalalkan hubungan sejenis bukan sahaja haram di sisi Islam, malah ditolak oleh agama lain yang dianuti rakyat negara ini.
“Adalah jelas program ini cuba melaksanakan agenda asing atas nama hak asasi manusia dan demokrasi untuk mempengaruhi akhlak generasi muda dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada usaha kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu mempromosikan program Seksualiti Merdeka 2011 melalui laman web www.seksualitimerdeka.org.
Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Ibrahim menambah, kerajaan serta pertubuhan berkaitan agama perlu bertindak dan memberi teguran kepada NGO yang menyokong program itu kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Negara.
