Tan Sri Harussani Zakaria.KUALA LUMPUR - Umat Islam yang menyokong termasuk terlibat dalam menganjurkan program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan seks bebas, disifatkan sebagai syirik kepada Allah.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam telah mengharamkan hubungan sejenis, sehubungan itu mana-mana pihak yang mahu menghalalkan perkara yang telah diharamkan di sisi agama adalah dikira murtad.
Justeru, jelas beliau, kerajaan harus bertindak lebih tegas termasuk mengenakan tindakan ke atas pihak penganjur sekiranya mereka masih mahu meneruskan program yang mempromosikan amalan lesbian, homoseksual dan transeksual itu.
"Program ini secara jelas adalah bertentangan agama Islam termasuk agama lain. Kalau sekiranya ada orang Islam yang menyokong, maka hukumnya syirik dan boleh dikira murtad kerana Islam telah mengharamkan hubungan sejenis," katanya di sini hari ini.
Harussani berkata, golongan belia dibimbangi mengalami keruntuhan akhlak yang lebih teruk sekiranya program seumpama itu dibenarkan untuk dianjurkan di negara ini.
"Golongan belia di negara ini kebanyakannya sudah rosak akhlaknya, jadi kita tidak mahu moral mereka lebih teruk jika adanya program seumpama itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin menegaskan, penganjur program itu perlu mencari kaedah terbaik untuk membantu golongan lesbian, biseksual, gay atau transgender (LBGT) untuk kembali ke pangkal jalan dan bukannya membuka ruang kepada mereka untuk meneruskan gaya hidup tidak sihat.
"Namun agak malang apabila perkara ini tidak diberi perhatian sepatutnya oleh penganjur malah agensi agama dan perundangan negara ini diperlekehkan atas alasan tidak selaras dengan hak asasi manusia," katanya.
