
KUALA LUMPUR, :--(Bernama) -- Teater Natrah yang dipentaskan di Istana Budaya pada November dan Disember tahun lepas didapati tidak membawa roh perjuangan Islam seperti kisah sebenar yang berlaku pada tahun 1951.
Menurut Penulis buku 'Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata' Datin Seri Fatini Yaakob kisah Natrah yang sebetulnya melambangkan roh perjuangan Islam, perpaduan bangsa Melayu dan roh perpaduan bangsa pada masa itu.
"Saya bukan menolak tapi kurang senang sebab teater itu tidak membawa roh perjuangan sebenar Islam.
"Saya mendapat komen daripada penonton yang lebih banyak bertanya adakah itu benar, dah semak ke skripnya, dan ini adalah maklum balas-maklum balas daripada penonton," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku 'Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata' di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari Selasa.
Beliau berkata pada dasarnya, naskhah Natrah ini memerlukan masa untuk memahami dan menghayati kisah asal perjalanan Natrah itu agar dapat menghasilkan satu pementasan hebat.
