
PETALING JAYA - Mulai semalam orang ramai yang membeli-belah di Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) akan menikmati penjimatan yang menarik setelah syarikat tersebut menurunkan harga lebih daripada 40 peratus terhadap 40 jenis produknya.
Penjimatan itu dibuat melalui kempen penurunan harga barang makanan segarnya termasuk ayam, sayur-sayuran, makanan laut dan buah-buahan sehingga bulan Mac tahun hadapan.
Ini merupakan program penurunan harga terbesar yang pernah dianjurkan Tesco di negara ini bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang kesembilan.
Menurutnya, kempen tersebut membabitkan peruntukan pelaburan sebanyak RM30 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Chris Bush berkata, kempen ini akan dapat membantu mengatasi peningkatan kos hidup yang dialami rakyat Malaysia kini.
"Kami ingin membantu pelanggan dengan menawarkan potongan harga untuk barang-barang yang penting untuk keperluan harian pengguna,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen tersebut di sini semalam.