
RATU Rock negara, Ella yang dikatakan bakal membuat persembahan pembukaan untuk konsert Slash Live In Kuala Lumpur 2010 di Surf Beach, Taman Tema Air Sunway Lagoon pada 5 Ogos depan belum lagi memberi sebarang kata putus berhubung perkara tersebut.
Malah, terdapat khabar angin kononnya Ella telah meminta bayaran sebanyak RM30,000 hanya untuk dua buah lagu sebagai syarat untuknya membuat persembahan di konsert itu.
Bagaimanapun, Ella yang ditemui selepas raptai penuh konsert Ella bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya baru-baru ini tidak menafikan telah menerima tawaran daripada pihak Slash tetapi tidak dapat memberi sebarang pengesahan tentang ganjaran yang akan diberikan.
"Tentang RM30,000 itu saya tidak boleh komen sebab bukan saya yang buat perjanjian sebaliknya diuruskan oleh syarikat pengurusan. Apa yang saya tahu, saya ada terima pelawaan daripada pihak penganjur tetapi belum ada sebarang surat hitam putih dikeluarkan.
"Itu bermakna semua belum sah lagi, jadi saya tidak boleh cakap apa-apa," ujarnya.
Slash yang juga bekas pemain gitar utama kumpulan Gun's N Roses sebelum ini pernah bekerjasama dengan Ella menerusi lagu Bayangan di dalam album yang berjudul El pada tahun 1998.
Disebabkan itu, Ella dirasakan penyanyi yang benar-benar tepat untuk berada di pentas konsert Slash.
