Para penonton mengesan dan menahan seorang remaja yang dipercayai melakukan suatu kesalahan pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki Cup 2010 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
KUALA LUMPUR:---Meskipun telah diberi amaran sebelum ini, masih terdapat segelintir penyokong degil yang cuba melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak keselamatan ketika menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Buktinya, polis telah menahan lima penyokong bola sepak yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan sepanjang perlawanan akhir itu.
Kelima-lima lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit ditahan secara berasingan sejak petang semalam sehingga tamat perlawanan itu kira-kira pukul 9.45 malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah dalam laman sosial Facebook beliau memberitahu, kesemua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan seperti memanjat pagar, menghalang tugas penjawat awam, mabuk, memiliki mercun, membaling botol ke arah penonton lain dan menyalakan bunga api berwarna.
"Polis berjaya menahan penyokong daripada kedua-dua belah pasukan yang membakar mercun dan bunga api sepanjang perlawanan tersebut.
"Bagaimanapun, penyokong yang mengganggu permainan dengan menghalakan laser ke muka pemain pula terlepas daripada ditangkap," katanya di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci identiti penyokong terbabit sama ada ia membabitkan penyokong Malaysia atau Indonesia.
Zulkifli memberitahu, walaupun individu yang bermain laser terlepas daripada ditahan namun polis akan melakukan pengawasan lebih ketat jika terdapat perlawanan seumpama itu selepas ini.
Beliau dalam laman sosialnya turut mengucapkan tahniah kepada pasukan negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di tanah air sendiri.