Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Ahad, 2 Januari 2011

Sebumbung dengan mayat

Anggota polis mengangkat mayat lelaki yang dijumpai mati di atas siling rumah.


BATU PAHAT: “Rupa-rupanya, dua malam kami sekeluarga tidur sebumbung dengan mayat,” kata Kamaruzaman Sahlan, 40, selepas dua pekerja syarikat pendawaian elektrik menemui mayat lelaki melecur teruk di siling rumahnya di Jalan Bukit Pasir, jam 8.30 malam kelmarin.

Mayat lelaki berusia 50-an dipercayai penagih dadah itu dijumpai tertiarap dan hampir seluruh badannya melecur selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong wayar di siling rumah Kamaruzaman untuk dicuri.

Sebelum itu, Kamaruzaman dan keluarganya menyangka bekalan elektrik terputus di rumah mereka sejak petang Jumaat lalu berpunca daripada masalah pendawaian dan sama sekali tidak menyangka ia disebabkan cubaan mencuri wayar elektrik.

Mengimbau kejadian itu, Kamaruzaman yang ditemui semalam berkata, isterinya, Santi Jumingan, 27, memberitahu bekalan elektrik di rumah sewa mereka terputus sejurus dia pulang ke rumah untuk menunaikan solat Asar jam 6 petang, Jumaat lalu.

Kamaruzaman yang bekerja sebagai pembantu kedai melakukan pemeriksaan rambang, tetapi gagal mengesan punca masalah sebelum menghubungi pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meminta bantuan.

“Petugas TNB datang melakukan pemeriksaan pada jam 7 malam dan memaklumkan ia mungkin disebabkan masalah pendawaian dan perlu mendapatkan khidmat kontraktor.

“Saya menghubungi syarikat berkaitan dan dua pekerjanya datang membuat pemeriksaan, namun mereka juga gagal mengesan punca masalah,” katanya.

Menurut Kamaruzaman, pekerja terbabit berjanji datang semula keesokan hari melakukan pemeriksaan lebih menyeluruh termasuk sistem pendawaian di siling.

Selepas datang semula pada jam 8.30 malam kelmarin, dua pekerja itu meminta izin memecahkan siling bagi membolehkan mereka melihat sistem pendawaian.

“Sejurus menaiki siling, kedua-duanya terjun dan berlari keluar sebelum memaklumkan ada kaki manusia di atas siling. Saya terkejut dan keliru mendengar kata mereka, lalu meminta bantuan rakan, pekerja TNB membuat pemeriksaan.

“Rakan saya datang dan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan ada mayat lelaki di atas siling rumah saya. Saya terus membuat laporan polis,” katanya.

Kamaruzaman berkata, sepasukan anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Pahat bergegas ke rumahnya untuk mengeluarkan mayat selain melakukan siasatan.

“Saya percaya lelaki terbabit terlebih dulu memecahkan siling bilik air kediaman kosong di sebelah rumah sebelum cuba memotong wayar elektrik di siling rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu dan dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular