WARGA Flipina, Myrna Joy Mesa Daquiado yang kini dikenali sebagai Dayang Ratna Sofia binti Abdullah Mesa melafazkan ikrar Islamnya di hadapan pegawai-pegawai dari Unit Pengislaman dan Pemeliharaan Saudara-saudara Baru Pusat Da'wah Islamiah.JERUDONG,BRUNEI DS:--Syiar Islam terus berkembang di negara ini dan telah berjaya menambat hati para pemeluknya yang terdiri dari pelbagai bangsa.
Hari ini seorang lagi saudara baru berbangsa Filipina memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dan menjadikan jumlah saudara baru terus bertambah dari semasa ke semasa di negara ini.
Myrna Joy Mesa Daquiado, 28, telah memilih nama Islamnya sebagai Dayang Ratna Sofia binti Abdullah Mesa dan melafazkan ikrar Islamnya di hadapan pegawai-pegawai dari Unit Pengislaman dan Pemeliharaan Saudara-saudara Baru Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis Pengislaman yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam di sini diserikan dengan bacaan Dikir Marhaban dari pelajar-pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang disusuli kemudian dengan menabur bunga rampai kepada saudara baru yang diraikan.
Berangkat ke majlis ini, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bin Pengiran Laila Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Dayang Ratna Sofia ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana pintu hatinya terbuka untuk memeluk agama Islam dan baginya agama Islam itu adalah agama mulia dan suci.
Beliau berada di Negara Brunei Darussalam selama dua tahun dan bertugas di Syarikat QAF Beribi Gadong.
