
SINGAPURA - Kadar pertumbuhan bilangan jutawan di Singapura tahun lalu adalah yang terpantas berbanding negara-negara lain di dunia.
Perangkaan terbaru menunjukkan jumlah keluarga jutawan di Singapura tumbuh 33 peratus kepada 170,000 tahun lalu.
Ini didedahkan firma rundingcara pengurusan perniagaan sejagat, Boston Consulting Group, dalam tinjauannya semalam.
Hari ini, sebanyak 15.5 peratus daripada keluarga di Singapura mempunyai sekurang-kurangnya AS$1 juta ($1.24 juta) dari segi aset di bawah pengurusan (AUM).
Aset di bawah pengurusan termasuk simpanan deposit, dana pasaran kewangan, sekuriti yang diuruskan serta aset dalam dan luar negara.
Ia bagaimanapun tidak mengambil kira nilai harga rumah, barangan berharga dan perniagaan.
Prestasi kukuh harga ekuiti tahun lalu telah meningkatkan jumlah kekayaan di kalangan jutawan di Singapura.
'Daya tarikan Singapura seperti pusat pengurusan harta dan aset serta pertumbuhan ekonomi Singapura yang mencapai paras rekod tertinggi tahun lalu adalah sebab mengapa Singapura mencapai prestasi menggalakkan tahun lalu,' kata Pengarah Urusan Boston Consulting Group Singapore, Encik Jeffrey Chua.
Singapura mengatasi Switzerland, yang menduduki tempat kedua, dengan kenaikan keluarga jutawan sebanyak 9.9 peratus.
Ia diikuti dengan Qatar (8.9 peratus), Hongkong (8.7 peratus), Kuwait (8.5 peratus) dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) (5 peratus).
