Orang ramai berpusu-pusu merakam gambar kereta api KTM yang baru tiba di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar pada hujung minggu terakhir ia beroperasi.
SINGAPURA - ORANG ramai masih boleh menikmati capati, mi rebus dan teh tarik di kedai di kantin stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar hingga lewat malam esok.
Ini kerana hari terakhir operasi kantin di Platform 1 itu telah dilanjutkan, kata pemiliknya, Encik Masudul Hasan, kepada wartawan semalam.
Kantin itu sepatutnya ditutup mulai semalam, tetapi Encik Masudul diberitahu KTM minggu lalu beliau boleh beroperasi hingga esok.
'Ramai sangat orang datang dalam beberapa hari ini, jadi mereka kata boleh buka sampai 28 Jun,' kata Encik Masudul, sambil menambah beliau 'sudah tiga malam tidak cukup tidur' kerana sibuk melayan pelanggan di kedai 24 jamnya itu.
Gerai Encik Masudul, yang telah beroperasi di stesen itu sejak 30 tahun lalu, akan dibuka hingga lewat malam esok. Beliau akan menutupnya sekitar 2 pagi.
'Kalau mereka suruh berniaga sampai 30 Jun pun saya tak sanggup kerana ramai sangat orang,' kata Encik Masudul, yang belum mendapat tempat baru bagi perniagaannya.
Kereta api terakhir dari Tanjong Pagar akan bertolak Khamis ini dan 'dibawa pulang ke Johor' oleh Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Iskandar, yang mendapat lesen memandu kereta api tahun lalu.
Menjelang Jumaat ini, semua operasi KTMB akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP), yang akan menjadi stesen terakhir KTMB di Singapura.