
SINGAPURA - ADAKAH anda golongan mahasiswa yang prihatin mengenai isu-isu yang menjejas masyarakat Melayu/Islam?
Atau mungkin anda mahu mendalami punca cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat?
Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menjemput anda beradu tenaga minda menyelongkar isu-isu yang menjadi keprihatinan masyarakat dan memberi huraiannya menerusi peraduan Cabaran Realiti Sosial atau Socialive! Challenge 2011.
Ini merupakan kali kedua peraduan itu dianjurkan LBKM dengan kerjasama Berita Harian/ Berita Minggu.
Dalam kumpulan seramai tiga orang, anda diperlukan membentangkan masalah yang menjadi keprihatinan, sejarah dan faktor yang mencetus pergolakan isu itu.
Peraduan Socialive! Challenge dibuka kepada mahasiswa dan pelajar possiswazah di dalam dan luar negara.
Selain menyorot isu-isu sosial berkaitan masyarakat Melayu/Islam Singapura, matlamat peraduan itu juga adalah untuk merangsang semangat golongan mahasiswa membuat perubahan dalam masyarakat.
Selain itu ia juga bertujuan mengesan potensi bakat kepimpinan di kalangan mereka.
Pada peringkat akhir peraduan, lima kumpulan yang terpilih akan membentangkan kertas kajian mereka di hadapan panel penilai.
Satu kumpulan sahaja akan diisytiharkan pemenang dan menerima hadiah wang tunai $3,000.
Borang pendaftaran untuk menyertai peraduan ini boleh diperolehi dengan mengirimkan e-mel kepada socialive@ bursary.org.
Bayaran pendaftaran ialah $30 bagi setiap pasukan.
Tarikh tutup pendaftaran ialah 10 Julai dan peringkat akhir peraduan diadakan pada 1 Oktober.
