Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Sabtu, 18 Jun 2011

MUIS Singapura Tolak Kelab Isteri Taat



SINGAPURA - MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) tidak bersetuju dengan rancangan menubuhkan Kelab Isteri Taat (KIT) di Singapura.

Dalam kenyataan yang dikirimkan kepada pihak media semalam, Muis menyatakan 'ia tidak bersetuju dengan asas-asas atau matlamat kelab tersebut seperti mana yang dilaporkan oleh media'.

Muis menyifatkan pandangan kelab itu bahawa layanan seksual yang memuaskan dapat menyelesaikan masalah sosial sebagai 'sempit', 'tidak menggambarkan kerumitan rumah tangga dengan tepat', 'merendahkan martabat wanita dan institusi keluarga yang dimuliakan dalam ajaran Islam'.

Pandangan Muis itu bagaimanapun disanggah sekumpulan warga Singapura yang menggerakkan usaha menubuhkan KIT di sini.

Menurut Dr Darlan Zaini, 69 tahun, 'masyarakat sebenarnya salah faham tentang tujuan penubuhan kelab ini'.

Dr Darlan adalah ahli Global Ikhwan, sebuah syarikat perniagaan berbilang negara berpangkalan di Malaysia yang menerajui usaha ini.

Global Ikhwan digerakkan oleh bekas pengikut Al-Arqam, yang pertubuhannya telah diharamkan.

Dr Darlan turut terkilan dengan reaksi Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware).

'Saya tidak lihat bagaimana penubuhan kelab yang tujuannya untuk kebaikan dapat memecahbelahkan masyarakat,' ujarnya, ketika ditemui wartawan.

Isteri beliau, Profesor Madya Kamsiah Abdullah, 64 tahun, berkata:
'Penubuhan kelab ini sama macam kelab pencinta kucing atau kelab pencinta anjing.

'Apa salahnya, sekumpulan wanita tubuhkan kelab ini agar isteri mematuhi suami,' ujarnya.

Profesor Madya Kamsiah adalah mantan ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu dan mantan Penolong Ketua Kumpulan Akademik Bahasa-Bahasa dan Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Menurut pasangan itu, kelab itu akan menubuhkan jawatankuasa sementara bagi memutuskan sama ada ia perlu ditubuhkan secara formal ataupun tidak.

Tentang tumpuan kelab itu dalam memuaskan nafsu suami, Profesor Kamsiah menjawab, ini kerana 'ada sesetengah wanita tidak fikir ia soal penting dalam perkahwinan'.

Namun Muis menyatakan bahawa keteguhan institusi keluarga adalah berdasarkan hak dan tanggungjawab bersama kedua-dua belah pihak suami dan isteri.

'Konsep ketaatan di dalam perkahwinan juga adalah berdasarkan imbangan hak dan tanggungjawab kedua-dua suami dan isteri... (dan kebahagiaan dalam sesebuah perkahwinan)... menjangkau lebih dalam daripada sekadar layanan seksual daripada seorang isteri,' kata Muis dalam kenyataan tujuh perenggan semalam.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular