Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Khamis, 16 Jun 2011

Wanita pertama YDP Majlis Daerah Kuala Selangor





SHAH ALAM - Ahli Institut Perancang Malaysia, Noraini Roslan,46, dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), berkuat kuasa 1 Julai ini, menjadikan beliau wanita pertama menjawat jawatan YDP di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesamaan jantina dan keupayaan wanita.
“Noraini menerima tawaran sebagai YDP MDKS minggu lalu dan yakin beliau akan menjalankan tugas dengan cekap, telus dan bertanggungjawab.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman beliau sebagai Pengarah Perancang Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selama 21 tahun serta kelayakan pendidikan beliau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, YDP yang cekap perlu tahu selok-belok perancangan bandar dan kerajaan negeri percaya beliau boleh memenuhi amanah ini dengan baik.

“Kami juga berbangga kerana berjaya melantik YDP wanita pertama di Selangor dan dasar kami adalah bahawa wanita harus selalu diberi peluang yang sama dengan lelaki berdasarkan kebolehan dan kelayakan mereka.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran pegawai profesional seperti Noraini untuk menambah baik polisi kerajaan negeri serta agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’,” katanya.

Noraini ketika dihubungi mengakui terkejut dengan kepercayaan yang diberikan namun berjanji akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Saya belum menerima surat rasmi daripada pejabat Menteri Besar, cuma diberitahu secara lisan mengenai pelantikan ini. Walau apapun, pelantikan saya ini membuktikan kepercayaan terhadap wanita tanpa mengira gender walaupun ramai lagi calon lain yang layak.

“Insya-Allah saya akan membawa perubahan dalam beberapa aspek termasuk perancangan dalam bandar menerusi pengalaman saya dan berharap ia akan terlaksana,” katanya sambil menambah ketelitian menjadi perkara utama dalam setiap kerja yang dilakukan dan ciri berkenaan akan ditekankan dalam setiap perkara yang dilakukan.

Noraini berkelulusan Sarjana Perancangan dari Universiti North Carolina, Amerika Syarikat pada 1988. Sebelum itu beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti East Carolina, juga di negara sama.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perancang di Padi Beras Nasional Bhd (BERNAS) dan menyertai MPK sebagai Pengarah Perancang sebelum ditukarkan ke MBPJ pada 2010.

Kejayaan berkenaan turut melayakkan beliau untuk dianugerahkan Pingat Khidmat Cemerlang pada 2005 dan 2008.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular