Sebahagian daripada orang ramai membantu mengusung keranda jenazah Noramfaizul (gambar kecil) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang semalam.
SUBANG - Suasana pilu menyelubungi Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini apabila pesawat Charlie C-130 yang membawa jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia pada Jumaat lalu tiba kira-kira pukul 10.05 pagi semalam.
Pesawat yang sama turut membawa pulang seramai 16 pengamal media lain yang turut disertai 14 pasukan khas daripada sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, doktor (19) dan krew TUDM (26) yang diketuai oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sejurus tiba, jenazah Allahyarham yang diiringi Abdul Azeez disambut anggota keluarga termasuk ayah Allahyarham, Mohd. Nor Mat Yassin, 66, dan ibunya, Naemah Abd. Majid, 63.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah.
Sementara di Kuala Lumpur, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang terbunuh di Somalia boleh disifatkan sebagai mati syahid kerana Allahyarham terkorban semasa misi membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam.
"Sebagai umat Islam, Allahyarham layak diberi pengiktirafan tertinggi itu kerana turut telah membuka mata rakyat negara ini akan penderitaan yang dialami rakyat Somalia.
“Allahyarham yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini serta rakan-rakan media lain ternyata pejuang yang hebat kerana berani untuk membuat liputan di negara yang bergolak seperti Somalia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.