
SINGAPURA - HANYA satu harapan Encik Zulkifie Rahim dan isterinya, Cik Halina Ismail, buat Aidiladha kali ini - anak perempuan mereka pulang ke rumah meraikannya bersama keluarga.
Nur Khairunnisa, yang genap berusia 16 tahun bulan ini, melarikan diri dari rumah sejak lebih dua minggu lalu.
Menurut Encik Zulkifie, 46 tahun, kali terakhir beliau melihat anaknya itu ialah sekitar 6 pagi pada 14 Oktober lalu sebelum beliau pergi kerja.
Ketika itu Khairunnisa, yang diberhentikan dari Sekolah Menengah Punggol Mei lalu kerana kerap ponteng, sedang tidur.
Apabila Encik Zulkifie, seorang penyelia pengeluaran, pulang petang itu, beliau mendapati anaknya tiada di rumah.
'Pembantu rumah saya memberitahu saya Nisa bangun sekitar 8 pagi itu. Selepas pembantu saya memandikan anak bongsu saya sekitar 9 pagi, Nisa sudah tiada,' kata Encik Zulkifie, yang tinggal di Marsiling Drive.
Beliau percaya Khairunnisa hanya membawa wang $30, kad EZ- Link dan telefon bimbit.
Menurut Encik Zulkifie, dua hari sebelum itu isterinya bertanya Khairunnisa apakah dia mengambil wang beliau sebanyak $30.
Anak kedua mereka itu menafikannya dan kemudian enggan berbual dengan mereka sehingga dia melarikan diri.
Encik Zulkifie dan Cik Halina, 39 tahun, mempunyai tiga lagi anak berusia 17, 12 dan setahun.
Menurut Encik Zulkifie, Khairunnisa tidak menghubungi ahli keluarganya sejak meninggalkan rumah, tetapi beliau dapat mengikuti perkembangannya menerusi laman Facebooknya dengan bantuan anak ketiganya.
'Adiknya menunjuk saya komen-komen yang ditulis kakaknya, seperti 'pergi takkan kembali' dan 'selamat tinggal'. Tetapi sejak beberapa hari lalu dia block adiknya dan kami tidak dapat mengikuti perkembangannya lagi,' kata Encik Zulkifie, yang berusaha mencari Khairunnisa bersama isterinya setiap hari selepas kerja.
