
OLAK LEMPIT – Selepas digemparkan dengan kes buang bayi semalam, penduduk sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi kes sama, awal pagi semalam.
Kali ini bayi perempuan tidak cukup bulan ditemui digantung dalam sebuah beg di pintu pagar Masjid Al Khairat di sini.
Kejadian kira–kira jam 5.30 pagi itu disedari pengerusi masjid itu, Zainal Sahid, 63, bersama sekumpulan kariah masjid yang mahu bersiap sedia menunaikan solat Subuh.
Zainal berkata, mereka terkejut apabila melihat sebuah beg pakaian berwarna ungu tergantung pada pintu pagar beranda masjid berkenaan.
Menurutnya, pada awalnya beliau mengingatkan beg berisi telekung milik orang awam yang tertinggal, tetapi pelik apabila mendengar suara halus bayi seperti sedang merengek.
“Ketika ditemui, bayi itu masih hidup dan diselimuti kain lampin berwarna putih, tali pusatnya juga telah dipotong. Pihak kami terus menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di masjid berkenaan, semalam.
Zainal juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kes pembuangan bayi dua hari berturut–turut di kampung berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket atau sebaliknya.
Menurutnya, biarlah polis menyiasat kes terbabit sehingga si pelakunya dapat ditangkap.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika dihubungi berkata, beliau menerima laporan berkenaan bayi yang ditinggalkan di Masjid di Kampung Olak Lempit, awal pagi semalam.
Menurutnya, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Klang untuk siasatan lanjut.
