
GEORGETOWN – Lebih 20 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) disenaraihitam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan pelajar asing.
Ketua Sektor Operasi Unit Pemerdagangan Manusia Jabatan Imigresen, Abdul Hamid Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati IPTS terbabit telah memberi maklumat kurang tepat berkaitan informasi pelajar asing.
"Dalam siasatan kami, ada IPTS yang mempunyai rekod pendaftaran pelajar asing lebih daripada 1,000 orang sedangkan premis pengajian hanya mampu memuatkan 80 orang.
"Bila ditanya pihak pengurusan IPTS terbabit gagal memberi jawapan logik, kami percaya ada pihak-pihak tertentu ada yang menggunakan kolej untuk membawa warga asing yang kononnya berdaftar sebagai pelajar,” katanya pada perbincangan meja bulat bengkel sistem dan prosedur penguatkuasaan pemerdagangan manusia anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini hari ini.
Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapati beberapa IPTS dipercayai turut terbabit dalam kegiatan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
