ROZITA MAT ALI (kanan) dipeluk oleh ibunya, Jariah Ishak sekembali dari Lombok Timur di rumahnya di Kuala Medang, Kuala Lipis, kelmarin.KUALA LIPIS (Malaysia) 6 Mac - Setelah 20 hari berada bersama teman lelakinya di Lombok Timur, seorang pembantu kedai akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di Kampung Kuala Medang, Hulu Jelai dekat sini malam tadi.
Rozita Mat Ali, 30, yang dibawa lari oleh teman lelakinya yang dikenali sebagai 'Hamdan' sejak 15 Februari lalu, tiba di kampungnya kira-kira pukul 9 malam tadi.
Suasana gembira bercampur sedih menyelubungi hati kedua-dua ibu bapanya, Mat Ali Mat Amin, 67, dan isterinya, Jariah Ishak, 60, sebaik sahaja melihat anaknya berada di pintu rumah dalam keadaan selamat.
Urusan membawa pulang Rozita dari Lombok Timur diusahakan oleh majikannya, Shahrul Nizam Romainoor, 27, setelah berjaya menghubungi Hamdan dan bekas pekerjanya yang masih berada di Lombok Timur minggu lalu.
Shahrul Nizam yang ditemani seorang rakannya mengambil Rozita setelah bot yang membawanya mendarat di Sungai Rengit, Johor, pada pukul 6 pagi semalam.
Menceritakan alasan dia melarikan diri bersama teman lelakinya itu, Rozita memberitahu, dia amat mencintai Hamdan, 21, dan sanggup melarikan diri ke Lombok Timur walaupun tidak memberi sebarang jaminan kebahagiaan kepadanya di sana.
''Sebenarnya kami menjalin hubungan cinta sejak lima bulan lalu tanpa diketahui sesiapa termasuk kedua-dua ibu bapa dan majikan saya, Shahrul Nizam.
''Sehinggalah Hamdan memberitahu untuk membawa saya pulang ke kampung halamannya dan merancang bernikah di sana," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di kampung itu hari ini.
Oleh kerana terlalu percaya dan amat mencintai Hamdan, kata Rozita, dia sanggup berkorban meninggalkan ibu bapa dan pekerjaannya di Pos Betau, dekat sini.
''Ketika dalam perjalanan ke Pulau Batam, Indonesia, fikiran saya bercelaru kerana memikirkan tindakan saya itu salah di sisi undang-undang selain menderhaka kepada kedua-dua orang tua.
"Namun, oleh kerana terlampau mencintai dia, saya mengalah dan meneruskan hasrat ke Lombok," katanya.
Perjalanannya bersama Hamdan ke Lombok Timur, katanya, diuruskan oleh satu sindiket yang menyediakan sebuah bot yang beroperasi di Sungai Tiram, Johor untuk ke Pulau Batam.
Dari Batam, katanya, mereka meneruskan perjalanan menaiki kapal terbang ke Surabaya sebelum menaiki sebuah lagi kapal terbang menuju ke sebuah pekan kecil, Mentara.
"Bermula di pekan kecil itu, kami dibawa menaiki motosikal selama 45 minit ke kampung Hamdan.
"Perjalanan pergi balik saya diuruskan oleh sindiket terbabit yang telah menyediakan tiket perjalanan bot dan kapal terbang," katanya.
Gadis itu menambah, ketika di Lombok Timur, dia dilayan dengan baik oleh keluarga Hamdan yang mempunyai empat beradik.
"Setiba di sana, saya menghubungi ibu dan adik sebanyak dua kali dan memberitahu, saya selamat di rumah Hamdan serta merancang untuk berkahwin," katanya.
Menurutnya Rozita, ibunya yang memahami perasaan dan tindakannya itu merayu supaya kembali ke kampungnya semula jika ingin meneruskan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki Lombok tersebut.
"Pada awalnya saya seronok tinggal di rumah Hamdan tetapi lama-kelamaan rindu kepada keluarga semakin kuat sehingga memaksa saya menyatakan hasrat ingin pulang ke Malaysia kepada Hamdan dan keluarganya," katanya.
Dia bernasib baik kerana hasratnya difahami dan tidak dibantah oleh Hamdan dan teman lelakinya itu mengeluarkan belanja menguruskan kepulangannya ke Malaysia mengikut perjalanan yang sama.
"Hamdan menghantar saya ke Mentara sebelum saya dibantu seorang lelaki tidak dikenali menguruskan perjalanan hingga tiba di Sungai Rengit, Johor pada pukul 6 pagi semalam," katanya.
Dia berharap Hamdan kembali semula ke Malaysia untuk mengambilnya sebagai isteri yang sah apatah lagi keluarganya sanggup menerima teman lelakinya itu sebagai menantu.
Sementara itu, Jariah bersyukur kerana anaknya kembali ke pangkuan keluarga selain turut berharap Hamdan datang melamar anaknya di sini.
"Kami tidak marahkan dia (Hamdan). Datanglah ke sini, kita boleh satukan secara sah jika dia berhajat untuk memperisterikan Rozita," katanya.
Dalam pada itu, Shahrul Nizam berharap Rozita dapat meneruskan semula pekerjaannya sebagai pembantu di kedai makan miliknya di Pos Betau di samping melupakan peristiwa pahit yang dialaminya.
"Dia (Hamdan) pun boleh kembali ke sini dan terus bekerja di ladang getah milik saya kerana dia rajin dan jujur.
"Lagi pun Hamdan mempunyai dokumen yang sah untuk masuk dan bekerja di sini," tambahnya.
