Datuk Dr Mashitah Ibrahim.KANGAR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menyelar segelintir suami yang menjadikan isteri semata-mata tempat melepaskan nafsu seks tanpa memikirkan kepentingan hidup berkeluarga.
Katanya, perkahwinan yang digalakkan oleh Islam adalah untuk menjamin keutuhan hidup suami isteri dan membentuk keluarga yang bahagia dengan kedua-dua suami isteri sama-sama memegang tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak.
"Justeru jangan ada di kalangan suami yang cuba mengabui pemahaman isteri kononnya satu pengorbanan bagi mereka dengan jaminan masuk syurga jika membenarkan suami berkahwin lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Simposium Wanita peringkat negeri oleh Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Dewan 2020 di sini hari ini sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Raja Perlis.
Mashitah yang dijemput sebagai salah seorang panel dalam simposium itu berkata, adalah tidak wajar seseorang suami meletakkan isteri mereka sebagai ”pelacur terhormat” sedangkan taat setia tidak boleh diletakkan kepada isteri sahaja sebaliknya suami juga perlu mempunyai sikap taat setia kepada isteri mereka.
