
SINGAPURA - PERSATUAN Muhammadiyah akan menawarkan biasiswa bernilai $60,000 kepada enam pelajar, dengan kebanyakan penerima merupakan bekas pelajar madrasah sepenuh masa Singapura.
Seperti tahun lalu, biasiswa Ibnu Taimiyyah bernilai $40,000 akan diberikan kepada seorang pelajar, manakala lima pelajar lagi menerima biasiswa Ibnu Sina bernilai $4,000 setiap satu.
Sempena majlis penganugerahan biasiswa itu yang berlangsung esok, satu seminar tentang panduan pendidikan dan kerjaya akan diadakan dengan kerjasama Forum Pemimpin Masyarakat (Rangkaian Pembangunan Keluarga).
Seminar tersebut akan diadakan di Auditorium Perpustakaan Daerah Tampines, di Tampines Avenue 7, mulai 8.30 pagi.
Jawatankuasa Biasiswa Muhammadiyah 2011 berkata pihaknya menerima lebih banyak permohonan yang bermutu tinggi tahun ini.
'Berdasarkan rekod akademik, penyokong, dan temu ramah individu, para penerima yang dipilih merupakan mereka yang selain mempamerkan kecemerlangan dalam pengajian, juga bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, dan telah memberi inspirasi kepada pelajar lain dalam meneruskan pendidikan dan penyelidikan silang disiplin,' kata kenyataan jawatankuasa itu.
Ia berkata para penerima bekas pelajar madrasah merupakan dari Madrasah Al-Irsyad, AlMa'arif dan Wak Tanjong.
Mereka akan melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang saintifik atau sains amali.
Salah seorang daripada mereka, Cik Nurhazwani Salleh, 23 tahun, yang akan menerima biasiswa Ibnu Taimiyyah dan pernah belajar di Madrasah Al-Irsyad, sedang mendalami ilmu teknologi makanan bersama Universiti Massey, yang kampusnya di Politeknik Singapura (SP).
Dalam pada itu, seminar pendidikan dan kerjaya yang akan diadakan dalam bahasa Inggeris itu akan mengetengahkan individuindividu dikenali ramai.
