Sultan Ismail Petra bersiar-siar di Pantai Kandis, Bachok baru-baru ini dengan ditemani Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
KOTA BHARU - Bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra semalam menolak tawaran perkhidmatan perubatan oleh sebuah jawatankuasa bagi menjaga kepentingan dan hak istimewa serta keselamatan baginda yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri ini.
Dalam satu kenyataan akhbar semalam, Setiausaha Sulit Sultan Ismail Petra, Datuk Wan Hashim Wan Daud berkata, tawaran tersebut ditolak kerana baginda kini sudah pun diberikan rawatan perubatan terbaik oleh tenaga profesional sedia ada.
Beliau menegaskan, kesihatan Sultan Ismail Petra juga bertambah baik, malah baginda aktif dan penuh azam menjalankan pelbagai program rawatan terapi untuk mengembalikan semula tenaga.
"Bagaimanapun, Sultan Ismail Petra berkenan menyatakan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana hasrat murni menubuhkan jawatankuasa itu,'' katanya