
SINGAPURA:-- DAYA tarikan utama Universal Studios Singapore (USS), permainan rollercoaster Battlestar Galactica, sudah mula beroperasi kembali.
Setelah 11 bulan digantung atas masalah teknikal, dan selepas selesai menjalani ujian-ujian keselamatan, USS diberi lampu hijau oleh pihak berkuasa untuk menyambung semula permainan rollercoaster itu semalam.
Menurut Naib Presiden Operasi Taman USS, Encik John Hallenbeck, pihaknya telah memastikan rollercoaster itu selamat untuk dinaiki orang ramai.
'Malah, kami telah mendapat maklum balas bahawa ramai orang tidak sabar hendak menaiki rollercoaster itu lagi.
'Permainan rollercoaster ini merupakan satu pengalaman yang menarik bagi tamu-tamu kami,' ujar beliau ketika ditemui semasa pembukaan semula permainan tersebut di Sentosa semalam.
Battlestar Galactica merupakan rollercoaster tertinggi di dunia, mencapai ketinggian hampir 14 tingkat.
Para penumpang rollercoaster itu boleh menikmati permainan tersebut dengan pilihan posisi duduk (Human) atau tergantung (Cylon).
Setiap pusingan di trek satu kilometer Battlestar Galactica itu memakan masa 90 saat.
Permainan tersebut ditutup Mac tahun lalu setelah polis mengarahkan agar operasi permainan di taman bertema di resort bersepadu Sentosa itu digantung kerana dipercayai rosak.
Pengarah Permainan dan Persembahan USS, Encik Donald Maclean, menjelaskan bahawa rollercoaster tersebut digantung kerana salah satu daripada kimpalannya mempunyai tekanan berlebihan.
Untuk mengatasinya, rollercoaster tersebut kini menggunakan sebuah guset (gusset) untuk mengukuhkan lagi kekuatkannya.
Beliau memberi jaminan bahawa permainan itu kini selamat dinaiki.
Encik Maclean berkata satu pasukan pakar daripada USS dan pengeluar rollercoaster tersebut telah menghabiskan masa sembilan bulan untuk menghuraikan masalah yang timbul.
Ini termasuk membuat pemeriksaan terperinci dan menyemak model rollercoaster tersebut.
'Kami kemudian mengeluarkan reka bentuk baru dan menghantar rollercoaster itu untuk diuji di Jerman,' kata Encik Maclean.
Ujian-ujian tersebut turut melibatkan patung-patung yang berisi air sebagai mencerminkan berat badan manusia.
Berita Harian difahamkan bahawa proses itu melibatkan 64 patung yang diisi dengan air dan mempunyai berat 80 kilogram setiap satu.
Orang ramai yang menaiki rollercoaster itu semalam berkata mereka rasa selamat dan yakin Battlestar Galactica tidak akan menghadapi sebarang masalah.
