Ahmad (dua dari kiri) menyaksikan Majlis Pelancaran ‘2011 ISTAF World Cup’ yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad (tengah) di Hotel Ridz Carlton.
KUALA LUMPUR: “TOLONGLAH Datuk. Demi sepak takraw Malaysia, janganlah letak jawatan.”
Itulah kesimpulan yang dibuat ketika menghubungi sebahagian individu terbabit secara langsung dan sebaliknya dalam arena sepak takraw negara berhubung peletakan jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, dua hari lalu.
“Saya tidak nampak sesiapa selain beliau yang boleh memegang jawatan itu sekarang. Seperti diketahui umum, PSM berdepan masalah kewangan yang meruncing dan kalau bukan beliau, tidak ada pemimpin lain di peringkat negeri yang mampu memikul tugas selaku orang nombor satu ketika ini.
“Justeru, saya sangat berharap beliau memikirkan semula keputusan itu. Saya pernah bertanya kepada beberapa individu lain tetapi semuanya mengaku tidak sanggup memikul tanggungjawab selaku Presiden PSM,” kata Ahli Majlis PSM, Azmi Shaari.
Selaku ‘orang lama’ dan antara pengasas badan induk kebangsaan itu, pendapat Azmi yang kini berusia 79 tahun tidak boleh diperlekehkan kerana selain pernah memegang pelbagai jawatan dalam PSM, beliau juga mempunyai pengalaman bekerja di bawah beberapa presiden sebelum Ahmad.
Saya yakin, kalau beliau bertegas mahu meletakkan jawatan, kerusi itu pasti kosong buat selama-lamanya dan kalaupun ada orang yang berani menerima cabaran itu, mereka perlu mempunyai kedudukan kewangan yang sangat kukuh. PSM mempunyai banyak hutang dan hanya Ahmad saja mampu mengendalikannya,” kata Azmi.
Dua hari lalu, Ahmad yang digelar ‘Panglima Harimau Berantai’ PSM kerana keberaniannya mempertahankan pemain serta seluruh warga sepak takraw itu mengambil keputusan meletak jawatan sebagai mengotakan janji yang dibuat sebelum Sukan Asia Guangzhou. Pengumuman itu sekali gus menghadirkan masalah yang semakin parah kerana semua pihak sedar Ahmad banyak berhabis untuk sepak takraw negara.