
SINGAPURA - KEPULANGAN pasukan bola sepak Singapura disambut meriah oleh sekitar 100 penyokong dan ahli keluarga mereka sebaik tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi kira-kira 12.30 tengah hari semalam.
Suasana bertukar gamat dengan sorakan dan tepukan para peminat sebaik sahaja kesebelasan Skuad Singa muncul daripada terminal untuk mendapatkan bagasi mereka.
Kelihatan dua pemain utama skuad negara, Fazrul Nawaz Shahul Hameed (kiri) dan Mustaffic Fahrudin, berjabat tangan dengan para peminat yang sabar menanti lebih kurang sejam sebelum ketibaan mereka.
Singapura mencatat keputusan seri 1-1 semasa menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, dalam perlawanan kedua malam kelmarin - sekali gus menang dengan agregat 6-4 untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014.