
KUALA LUMPUR - “Saya tak nak ambil tahu mengenai mereka (Memey dan Norman). Apa saja keputusan hakim berkenaan kes itu, tidak wajar untuk saya pertikaian,” kata Abby Abadi, ketika mengulas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Salehan Yatim, semalam, memutuskan pasangan itu tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan berkhalwat.
Menurut Abby atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan, 34, dia telah pun memaafkan pasangan itu dan apa sahaja keputusan mahkamah tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadapnya.
“Saya tak tahu nak cakap apa sebab saya tidak ambil tahu mengenai mereka. Segala apa yang berlaku sebelum ini, saya sudah lupakan. Saya tidak kisah apa saja yang berlaku kepada mereka kerana saya sudah tiada kaitan dengannya.
“Lagipun, ianya sudah tiga tahun berlalu dan saya hanya menumpukan perhatian kepada anak-anak sahaja,” kata ibu kepada Mohammed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim, 5, dan Maria Danisha Hakim, 3.