
KUALA LUMPUR - Akibat dirotan guru tabika, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun lebam di kaki, tangan dan badan hingga dimasukkan ke hospital dalam kejadian Khamis lalu.
Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Nur, 6, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin lalu akibat kecederaannya selepas dirotan guru terbabit yang mengajar di Taman Pelangi, Sentul. Akibatnya, mangsa trauma dan kini tidak mahu ke sekolah, malah sering meracau pada waktu malam.
Menceritakan kejadian itu, Nur berkata, guru terbabit memukulnya dengan rotan panjang beberapa kali dan bukan dia saja yang menjadi mangsa, tetapi beberapa rakannya turut dirotan.
Katanya, ini bukan kali pertama dia diperlakukan begitu, malah sudah lebih 10 kali, tetapi dia mendiamkan diri selepas diugut guru itu supaya tidak mengadu kepada keluarga.
“Saya tidak pernah memberitahu nenek kejadian itu kerana takut dirotan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.
Nenek mangsa yang dikenali sebagai, Mastura, 60, berkata dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian ketika mahu menyapu losyen di badan cucunya yang dijaga sejak kecil itu.
“Saya terkejut selepas mendapati kaki, tangan dan badannya lebam dan cuba bertanyakan hal itu.
“Pada mulanya dia enggan menceritakan hal sebenar dan memberitahu digigit nyamuk, selepas dipujuk baru dia memberitahu kerap dirotan guru walaupun tidak melakukan kesalahan,” katanya.