
KUALA LUMPUR: -- Ketua kumpulan ajaran sesat ‘kerajaan langit’, Ayah Pin yang menyepi diri sejak sekian lama, kini muncul kembali cuba menyebarkan ajarannya dengan kaedah lebih canggih menggunakan laman sosial Facebook.
Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad, 85, yang mendakwa dirinya wakil kerajaan langit dikesan mempunyai akaun Facebook sendiri baru-baru ini dan dipercayai akan meneruskan dakyah sesatnya di laman web sosial itu.
Beliau sebelum ini dikatakan uzur dan tahun lalu beliau dipercayai sudah kembali semula ke pangkalannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu, selepas menghilangkan diri sejak hampir empat tahun setelah penempatannya dirobohkan pihak berkuasa.
Beliau sebelum ini menjadi buruan pihak berkuasa dan tidak lagi menganjurkan sebarang kegiatan songsang kerana kesihatannya tidak mengizinkan dan beliau secara rasmi mengisytiharkan dirinya keluar Islam pada 2 Ogos 1998.
Bagaimanapun, kemunculan semula Ayah Pin melalui laman web itu membimbangkan banyak pihak kerana ada kemungkinan pengikutnya kembali semula dan orang ramai yang sering menggunakan laman sosial itu mungkin terpengaruh dengan ajarannya.
Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan akan menyiasat laporan mengenai kewujudan laman web sosial Facebook yang dimiliki Ayah Pin.

