MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) menyaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dilantik, Datuk Mohamad Khusrin Munawi mengangkat sumpah kerahsiaan selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Bilik Mesyuarat Exco Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.SHAH ALAM:---– Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi akhirnya mengangkat sumpah simpan rahsia hari ini.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa Mohamad Khusrin berbuat demikian di hadapan beliau kira-kira 1.30 tengah hari ini.
Pelantikan Mohamad Khusrin pada mulanya menjadi kontroversi apabila Abdul Khalid mendakwa ia tidak sah kerana tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu, namun beliau akhirnya menerima pelantikan berkenaan yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Mohamad Khusrin mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan pada 6 Jan lepas.
Bagaimanapun, majlis angkat sumpah simpan rahsia ditangguhkan sehingga hari ini. - Bernama
