KOTA BHARU — Alumni Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) hari ini merayu kerajaan menyediakan pesawat khas untuk membawa pulang lebih 1,200 pelajar Kelantan yang berada di Mesir.
Pengerusi persatuan, Zulkifli Mat Yusof berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pelajar di sana, keselamatan mereka semakin tidak terjamin kerana keadaan di Mesir kini bertambah tegang.
"Terkini kami mendapat maklumat keadaan semakin kritikal, ramai pelajar dari negeri ini terkandas dan terpaksa bergerak tanpa hala tujuan untuk keluar dari negara itu bagi menyelamatkan diri.
"Perkara itu menimbulkan kebimbangan kepada pihak kita dan ibu-bapa di negeri ini, yang merupakan negeri yang memiliki jumlah pelajar terbesar di Mesir,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata persatuan itu memantau perkembangan di Mesir dengan menghubungi pelajar, keluarga mereka serta pihak Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah setiap empat jam, setiap hari. — Bernama
