
KUALA LUMPUR – Golongan belia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pelajar lepasan sekolah disaran menyertai Akademi Kemahiran Belia Golf anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Akademi berkenaan bukanlah untuk melahirkan pemain-pemain golf profesional tetapi untuk melatih dan melahirkan kedi yang bertauliah.
"Buat masa ini, kita kekurangan kedi tempatan di kelab-kelab golf yang ada di negara ini.
“Dengan adanya akademi seumpama ini, kita akan dapat kurangkan pergantungan kepada khidmat kedi dari luar negara,” kata pegawai perhubungan awam KBS, Yusri Abu Mahsin di sini hari ini.
Beliau berkata, objektif penubuhan akademi berkenaan yang dijadual beroperasi Mac ini ialah untuk mengeluarkan tenaga kerja pakar yang diiktiraf khususnya yang menjurus kepada industri golf.
Akademi itu akan dijalankan secara kerjasama antara KBS, Persatuan Golf Malaysia (MGA), Persatuan Pengurus Kelab Golf (GCMAM), Persatuan Kedi, Persatuan Penguasa Padang Golf (GCSAM) dan Persatuan Golf Profesional Malaysia (MPGA).
Maklumat lanjut mengenai temu duga terbuka boleh didapati melalui laman web www.kbs.gov.my atau menghubungi talian 03-88713405. – Bernama
