
SINGAPURA - BEBERAPA kumpulan kebudayaan dan seni yang bertempat di Kampung Melayu Geylang Serai akan dapat meneruskan persembahan mereka di tempat baru selepas perkampungan itu ditutup bagi pembangunan semula lewat tahun ini.
Ini menyusuli tawaran daripada Anggota Parlimen bagi divisyen Geylang Serai GRC Marine Parade, Profesor Madya Fatimah Lateef, agar tiga kumpulan kompang, tarian dan silat itu menggunakan Kelab Masyarakat (CC) Geylang Serai di Haig Road bagi aktiviti mereka buat sementara.
Kumpulan-kumpulan itu juga disarankan supaya bekerja rapat dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Maec) Geylang Serai.
Mengenai tawaran oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Geylang Serai itu baru-baru ini, Profesor Fatimah berkata beliau mengambil inisiatif itu kerana prihatin tentang nasib kumpulan-kumpulan tersebut.
Beliau dan beberapa pemimpin akar umbinya bertemu pihak pengurusan Kampung Melayu Geylang Serai Selasa lalu untuk sama-sama membantu mendapatkan tempat sementara bagi tiga kumpulan itu.
Ketika dihubungi, Pengurus Kampung Melayu Geylang Serai, Encik Joseph Chan, berkata pihaknya mengalu-alu baik tawaran itu dan bersedia bekerjasama dengan CCC Geylang Serai.
Satu lagi pertemuan antara CCC Geylang Serai, Kampung Melayu dan agensi lain, seperti Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Persatuan Rakyat (PA) dan Lembaga Warisan Nasional (NHB), akan diadakan minggu depan.
'Sebagai AP bagi Geylang Serai yang menempatkan Kampung Melayu, saya rasa kami perlu mengekalkan budaya dan warisan kawasan Geylang Serai. Saya juga rasa penting menerapkan ciri-ciri tradisional Melayu dalam pusat sivik dan CC Geylang Serai baru, yang dirancang dibina di kawasan yang kini didiami Kampung Melayu,' kata Profesor Fatimah.
Tempoh pajakan Kampung Melayu Geylang Serai berakhir pada 26 September ini dan tapaknya serta kawasan sekeliling di Paya Lebar Central, termasuk tapak Tanjong Katong Complex (TKC), akan dibangunkan semula secara menyeluruh.
