Datuk Seri Jamil Khir Baharom
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah memandang ringan isu akidah, termasuk gejala murtad yang semakin diperkatakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan bagaimanapun berhati-hati dalam menangani isu itu, terutama dalam berhadapan dengan khabar angin ataupun maklumat tidak jelas.
“Isu akidah umat Islam tidak pernah dipandang ringan. Islam sebagai agama rasmi negara sentiasa kita jaga. Tetapi kita juga tidak suka dengar khabar angin. Banyak maklumat yang tidak jelas dan mungkin disalahtafsirkan,” katanya.
Ditanya apa tindakan kerajaan terhadap laman sosial tertentu yang dikatakan aktif menghimpun orang Islam yang murtad, Jamil berkata, kerajaan sedang memantau gerakan mereka.
“Bukan itu saja, ada beberapa kumpulan lagi yang kita sedang pantau. Sesiapa juga yang ada maklumat berkaitan perkara gerakan murtad kita harap mereka dapat lapor kepada pejabat agama Islam terdekat untuk diambil tindakan,” katanya.
Jamil sebelum itu, menyampaikan biasiswa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada empat pelajar yang akan melanjutkan pengajian di Mesir.
Gejala murtad di negara ini dikaitkan dengan faktor kemiskinan apabila ada individu Islam yang miskin terpinggir dikatakan menerima bantuan sara hidup dan pelbagai bantuan lain daripada pihak gereja.
Jamil mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah menuding jari kepada PPZ, apabila berhadapan dengan kes seumpama itu (murtad akibat miskin) sehingga menuduh pihak berkenaan tidak buat kerja.
“Jangan mudah hukum dengan menuduh mereka (PPZ) tidak buat kerja apabila dua tiga kes yang tertinggal, seharusnya melihat keseluruhan kerja yang dilakukan mereka,” katanya.
