MEMBELI permaidani dengan cara lelong.
SINGAPURA - Jika anda berani meletakkan harga tertinggi, pasti permaidani yang dihajatkan menjadi milik anda.
Inilah yang berlaku setiap malam di Bazar Raya Utara 2011 yang terletak di tanah lapang bersebelahan stesen MRT Woodlands dan gedung beli-belah Causeway Point.
Dari 8 hingga 11 malam, deejay Syah Ibrahim berdiri di pentas sambil melelong permaidani-permaidani daripada Fotohi Carpet Gallery.
Permaidani yang didatangkan dari Belgium, Turkey dan China itu dijual pada harga daripada $5 sehinggalah kepada $800 - harga paling tinggi yang pernah dijualnya sejauh ini.
Syah Ibrahim berkata lelongan permaidani itu adalah yang kedua dianjurkan di bazar tersebut setelah ia berjaya dianjurkan pada tahun lalu.
Bazar Raya Utara adalah anjuran Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Admiralty, Marsiling, Sembawang Woodlands serta Woodgrove, dan disokong Orange Promotions, Carrefour, Automobile Allianz dan Fotohi Carpet Gallery.
Terdapat pelbagai gerai yang menjual beraneka keperluan harian dan Hari Raya - daripada pakaian dan hiasan hingga kepada perabot dan kereta.
Selain itu, ada juga gerai yang menjual pelbagai jenis makanan untuk juadah berbuka puasa.
