SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Selangor dan Pusat, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Senator Ezam Mohd Noor hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Laporan dibuat ke atas Abdul Khalid kerana didakwa memfitnah dan menipu Sultan Selangor dalam isu penubuhan Majlis Penasihat Syura untuk menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.
Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin, semasa ditemui di Balai Polis Seksyen 6 di sini di mana mereka membuat laporan berkata tindakan Abdul Khalid adalah suatu kesalahan besar mengikut Akta Hasutan 1948 dan badan itu mahu Menteri Besar Selangor itu disiasat mengikut akta itu.
"GAPS mempunyai pandangan bahawa institusi Raja di Selangor harus dipertahankan sebagai institusi yang unggul untuk menyatukan dan membawa perpaduan rakyat dan bukan bahan untuk ditertawakan diperkotak-katikkan dan dipermainkan," katanya.
Ezam pula berkata, beliau merasa bertanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Negara dan Institusi Asas Negara dan beliau bersama teman-teman seperjuangan mempercayai ada agenda halus di sebalik tindakan Abdul Khalid yang didalangi oleh pihak tertentu untuk merosakkan institusi Istana dan Raja Berperlembagaan.
"Bukan sahaja institusi Raja diserang, malah JAIS yang menjaga hal ehwal kebajikan orang Islam juga turut diserang," katanya.
Semalam, Setiausaha Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan Abdul Khalid bahawa penubuhan Majlis Penasihat Syura itu dicadangkan oleh Baginda, adalah tidak benar sama sekali.
