Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Khamis, 11 Mac 2010

Sultan Kelantan bukan plaintif



KOTA BHARU (Malaysia)- 11 Mac - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra bukan plaintif dalam kes pengesahan lafaz cerai talak tiga baginda dengan isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad.

Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty berkata, kes tersebut sebenarnya difailkan seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, melalui peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan identiti Nik Rorhana kerana ia bukan bidang kuasanya tetapi mengesahkan bahawa kes tersebut akan berjalan seperti biasa.

''Berdasarkan maklumat pada writ saman ini, Nik Rorhana berasal dari Taman Permanis, Jalan Sultanah Zainab II, Kota Baharu.

''Saya hanya ingin menjelaskan bahawa Tuanku Ismail bukanlah plaintif sebagaimana yang dikeluarkan dalam akhbar semalam sebaliknya kes ini difailkan oleh Nik Rorhana.

''Kita menerima permohonan kes ini, ia prosedur biasa manakala selebihnya akan ditentukan oleh mahkamah nanti,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa Zainul Rijal mengesahkan pihaknya telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Elia Suhana di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Dalam laporan itu, Zainul Rijal dipetik sebagai berkata, mereka telah dititahkan oleh Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara baginda dan Elia Suhana.

Baginda dikatakan telah melafazkan sendiri cerai talak tiga itu pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa saksi.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Elia Suhana yang berkahwin dengan baginda pada Disember 2007 meragui lafaz cerai tersebut disebabkan keadaan baginda yang gering pada masa sekarang.

Abu Bakar berkata, kes pengesahan lafaz cerai itu akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah pada 21 Mac ini.

Sementara itu, Zainul Rijal mengesahkan beliau menerima titah daripada Tuanku Ismail untuk membawa kes tersebut ke mahkamah bagaimanapun baginda bukannya plaintif.

''Bernama tersilap membuat laporan berhubung kenyataan saya, memang betul apa yang dikatakan oleh Abu Bakar dan plaintif untuk kes ini ialah Nik Rorhana.

''Ini disebabkan beliau adalah salah seorang saksi yang mendengar lafaz cerai di Hospital Mt. Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu.

''Saya ialah peguam plaintif dan bukannya peguam Tuanku Ismail. Saya mendapat perkenan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah,'' jelasnya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti sebenar Nik Rorhana dan meminta semua pihak menunggu sehingga sebutan kes itu sekiranya mahu mengetahui siapa sebenarnya plaintif.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular