
IPOH - Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kini menyediakan perkhidmatan bas percuma atau ”shuttle” kepada orang ramai yang ingin berurusan di hospital berkenaan bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, inisiatif itu adalah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di hospital itu, sekaligus memberi keselesaan kepada orang ramai.
"Kita menerima banyak aduan berkaitan kekurangan tempat letak kereta dan berharap perkhidmatan ini dapat memudahkan pelawat dan pesakit datang untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada 34 kanak-kanak dari wad pediatrik HRPB hari ini. - Bernama
