
BANDAR SERI BEGAWAN:-- Mahkamah Bandar Seri Begawan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas seorang perempuan warga Indonesia atas kesalahan mencuri di rumah majikannya yang beralamat di Kampung Sungai Taring Lumut pada 19 Disember 2010.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, tertuduh yang hendak dihantar pulang ke negara asal diperiksa oleh majikannya dan mendapati beberapa barang milik majikan yang telah hilang semasa tertuduh bekerja selama lebih kurang 3 bulan.
Mahkamah juga menerima rayuan dari tertuduh, dengan tujuan hukuman penjara selama 12 bulan dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan 3 orang anak serta suami yang tidak bekerja di Indonesia.
Walau bagaimana pun, rayuan tertuduh ditolak sebagai pengajaran terhadap kepentingan awam di mana majikan memberikan kepercayaan sepenuhnya setelah diterima sebagai pembantu rumah.
Tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama 12 bulan di Penjara Wanita Jerudong.
