
ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri, Sudin Mohd Nor, 63, dan Sarah Abdul Hadi, 60, dari Kampung Melaka Pindah, dekat sini, merayu anak perempuan mereka, Marina, 26, yang lari dari rumah sejak 7 Februari lalu agar pulang ke pangkuan keluarga.
Sarah berkata, Marina adalah seorang ibu tunggal lari dari rumah bersama anak bongsunya, Norain Zaki, 5, pada hari Jumaat kira-kira jam 5 petang dengan memakai baju-T warna merah dan seluar hitam manakala cucunya memakai baju merah.
Menurutnya, anak ke sembilan dari sepuluh beradik itu yang baru bekerja setahun lalu sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Kelemak didakwa menjalin hubungan dengan seorang lelaki warga Nepal.
“Anak saya keluar dari rumah sehelai sepinggang dan membawa sekali anak bongsunya dengan dua pasang pakaian yang baru dibeli seminggu sebelum kehilangannya sambil menunggang motosikal jenis Honda EX-5.
“Malam sebelum kejadian, dia seperti biasa selepas makan, mengemas dan lipat baju sambil menonton televisyen, namun dia ada cakap tidak selesa duduk rumah selain asyik pegang telefon bimbit dan membalas mesej kepada seseorang,” katanya.
Beliau yang ditemani suaminya berkata, pada sebelah pagi, sebelum lari dari rumah, Marina nampak gelisah sambil mundar-mandir di dalam rumah dan seakan-akan meninjau ke arah luar.
Sarah berkata, kira-kira jam 5 petang, Marina keluar dari bilik sambil membawa Norain dengan dua pasang pakaian anaknya dibungkus dalam plastik dan bila ditanya dia cakap hendak ke kedai.
“Namun sehingga jam 9 malam, Marina tidak balik dan adik bongsunya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dijawab oleh seorang lelaki.
“Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan mengatakan Marina berada dalam keadaan selamat dan minta kami tidak melaporkan kepada pihak polis sebelum dia putuskan talian,” katanya.
Katanya, selepas tiga minggu kehilangan itu, kelibat Marina dan anaknya dilihat menunggang motosikal di hadapan Jabatan Agama Islam Melaka berhampiran Masjid Al-Azim, namun nombor pendaftaran dipalsukan.
“Bila saya dapat tahu dia ada di sana, saya terus mencarinya tetapi terlupa bawa gambarnya.
“Oleh itu, diharap Marina akan balik dan kami sedia maafkan segala kesilapan yang dilakukannya,” katanya.
