
FOTO: PENGHASILAN belacan menggunakan kaedah moden.
MIRI : Belacan Miri merupakan antara produk tempatan yang begitu terkenal sehingga ia menjadi buah tangan wajib untuk dibawa pulang oleh pelancong.
Lantaran itu, tidak peliklah jika ramai pelancong terutama dari Semenanjung bergegas mencarinya sebaik sahaja menjejakkan kaki di bandar raya ini.
Istimewanya belacan Miri terletak pada rasanya yang lebih enak, selain mempunyai aroma unik sebagaimana belacan Bintulu yang juga terkenal di kalangan pelancong.
Walaupun ada pengusaha telah menggunakan mesin penghancur untuk memproses ramuan utamanya iaitu geragau atau bubuk mengikut panggilan masyarakat tempatan, namun masih ramai yang setia dengan kaedah tradisonal menggunakan alu dan lesung.
Ini kerana kaedah itu dikatakan menghasilkan belacan yang lebih enak.
Belacan Miri yang mempunyai reputasi tersendiri dijual pada harga yang agak tinggi iaitu antara RM50 hingga RM60 sekilogram.
Untuk kemudahan orang ramai, ia juga boleh didapati dalam bentuk lebih kecil iaitu 100 gram, 150 gram, 200 gram dan 300 gram dengan masing-masing pada harga antara RM3 hingga RM10.
Seorang pengusaha belacan, Mahani Narong, 53, dari Sungai Brit, Marudi berkata, keunikan belacan Miri terletak pada rasa dan aroma yang cukup unik.
“Belacan yang baik boleh dikenali melalui aroma dan teksturnya. Semakin lama belacan itu diperap atau disimpan maka hasilnya akan lebih baik lagi.
“Bagi belacan Miri, jangka hayatnya boleh menjangkau sehingga lima tahun bergantung kepada cara penyimpanan,” katanya.
Menurut Mahani, belacan Miri boleh dikenal pasti melalui warnanya yang keperang-perangan dan ia kerap dijual dalam bentuk bongkah.
Katanya, bagi menghasilkan belacan yang sedap dan berkualiti, ramuannya mestilah menggunakan geragau yang segar dan bersih.
Katanya, ia langsung tidak boleh bercampur dengan anak ikan bagi mengelakkan rasanya bertukar menjadi pahit.
“Selain itu, bubuk (geragau) segar itu mesti diasingkan daripada benda asing sebelum diproses.
“Kadangkala terdapat pembuat belacan tidak mengasingkan benda asing seperti daun dan urat kayu kecil menyebabkan warna belacan tersebut berwarna hitam apabila kering,” katanya.
