
KUALA LUMPUR: Walaupun Indonesia akan menganjurkan Sukan SEA ke-26 dengan pelbagai acara yang disifatkan sebagai acara `sarkas dan suka-neka', Majlis Sukan Negara (MSN) tetap akan menghantar gabungan atlet elit dan pelapis ke temasya itu dari 11 hingga 25 November ini.
Pengarah Bahagian Atlet MSN, Ahmad Shapawi Ismail, bagaimanapun berkata atlet elit yang termasuk dalam program `Road to London (RTL) 2012'' tidak akan menyertai temasya dwi-tahunan itu bagi memberi tumpuan kepada kejohanan kelayakan ke sukan Olimpik. "Atlet yang kerap memenangi pingat emas di peringkat Sukan SEA juga tidak akan dihantar ke Indonesia kerana kita mahu mereka memberi tumpuan kepada temasya yang lebih tinggi statusnya seperti Sukan Asia," katanya kepada Bernama.
