
ALOR SETAR – Dua pelajar jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Konsultasi Rundingan Pelanggan Antarabangsa ABA/Louis M. Brown Forrest S. Morten di Universiti Maastricht, Belanda dari 6 hingga 9 April depan.
Pelajar tahun dua, Cheah Shuh Yuan dan Athina Klaywa Sim akan mewakili Malaysia selepas menjuarai Pertandingan Konsultasi Pelanggan Harun M Hashim 2011 apabila menewaskan Universiti Malaya (UM) pada peringkat akhir, yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Terengganu baru-baru ini.
Universiti-universiti lain yang mengambil bahagian termasuk UNISZA, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Shuh Yuan dan Athina merupakan peserta termuda pertandingan yang didominasi pelajar tahun akhir jurusan undang-undang.
Selain Malaysia, negara lain yang menyertai pertandingan itu termasuk Amerika Syarikat, Kanada, England, Wales, Scotland dan Australia. – Bernama
