
SINGAPURA:- PARTI-PARTI politik pembangkang semalam mencapai keputusan sebulat suara untuk menentang parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), di kesemua 87 kawasan undi pada pilihan raya umum nanti.
Kesemua parti pembangkang yang bertanding juga bersetuju untuk mengelak pertandingan tiga penjuru di kesemua 15 kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC), dan seboleh mungkin, turut melakukan hal yang sama untuk 12 kawasan undi perseorangan (SMC).
Kata sepakat ini dicapai para pemimpin parti-parti pembangkang di akhir mesyuarat tiga jam mereka di bangunan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) di Changi Road petang semalam.
Keputusan ini, andai menjadi kenyataan, bererti, buat pertama kalinya sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1965 - pembangkang akan bertanding di kesemua kerusi yang dipertandingkan.
Ini juga bererti, PAP mungkin tidak lagi dapat menang mudah dan membentuk pemerintah semasa Hari Penamaan Calon kelak.
Ditemui di akhir mesyuarat tersebut, Setiausaha Agung PKMS, Encik Mohamed Nazem Suki, 42 tahun, yang mempengerusikan pertemuan itu, berkata, kesemua parti yang hadir bersetuju untuk bersatu dan bekerjasama.
'Kami sepakat untuk menafikan peluang PAP untuk meraih kemenangan majoriti pada pilihan raya nanti,' ujarnya.
Pengerusi Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim, berkata, partinya dijangka bertanding di empat GRC dan lima SMC.
Keempat-empat GRC itu ialah; Aljunied, East Coast, Moulmein-Kallang dan Nee Soon.
Lima SMC pula ialah Hougang, Joo Chiat, Punggol East, Sengkang West dan Whampoa.
Ditanya pihak media tentang keputusan partinya untuk tidak lagi bertanding di GRC Ang Mo Kio yang diterajui Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, Cik Lim berkata, partinya 'perlu mengimbangi sumber-sumber yang ada menurut strategi yang mahu dilaksanakan'.
Sementara itu, Setiausaha Agung Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Encik Desmond Lim, pula menyatakan, pihaknya akan bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol dan dua SMC; Punggol East dan Radin Mas.
SDA adalah gabungan dua parti - Parti Keadilan Singapura (SJP) dan PKMS.
Setiausaha Agung Parti Pembaharuan (RP), Encik Kenneth Jeyaretnam, berkata partinya akan bertanding di dua GRC; West Coast dan Chua Chu Kang; dan empat SMC; Radin Mas, Pioneer, Hong Kah North dan Yuhua.
Setiausaha Agung Parti Demokratif Progresif (DPP), Encik Seow Khee Leng, pula semalam menyatakan keinginan partinya bertanding di dua GRC, Tanjong Pagar dan Marine Parade.
Setiausaha Agung Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Goh Meng Seng, pula menyatakan kemahuan partinya bertanding di dua GRC; Tampines dan Jurong.
Parti Rakyat Singapura (SPP) pimpinan Encik Chiam See Tong, yang keluar dari SDA baru-baru ini, mengumumkan hasrat partinya untuk bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh dan dua SMC; Potong Pasir dan Hong Kah North.
Dalam pada itu, Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Gandhi Ambalam, enggan mendedahkan kawasan undi mana yang akan ditandingi mereka dan akan hanya mendedahkannya selepas Parlimen dibubar kelak.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan parti itu akan bertanding di GRC Holland-Bukit Timah dan dua SMC; Bukit Panjang dan Whampoa.
Parti pembangkang enggan mendedahkan siapa antara mereka akan bertanding di Ang Mo Kio dan Sembawang.
Bagi mengelak pertandingan tiga penjuru di beberapa SMC, Encik Nazem berkata:
'Parti-parti pembangkang akan mengadakan beberapa pertemuan susulan sesama mereka selepas ini bagi mengesahkan kawasan yang akan ditandingi.'
