
SEREMBAN: Seorang bapa merayu kerjasama orang ramai membantu mengesan dan menemukan semula anak perempuannya yang hilang selepas dipercayai dilarikan bekas isterinya sejak lima bulan lalu.
Azli Md Sani, 48, mendakwa anak bongsu daripada enam beradik itu, Hanis Syahirah, 10, dilaporkan hilang ketika berada di bawah jagaan Rumah Kanak-kanak Tunku Budriah, Cheras, Kuala Lumpur, dipercayai dibawa keluar tanpa kebenaran oleh bekas isterinya yang berusia 40-an, 4 Oktober lalu.
“Sebulan sebelum itu, dia (Hanis) tinggal bersama bekas isteri dan dihantar ke pusat jagaan berkenaan selepas diarahkan mahkamah sementara menunggu kes perbicaraan kami berhubung hak penjagaannya selesai.
“Walaupun berat hati saya terpaksa akur dengan perintah mahkamah. Selepas bercerai dengan bekas isteri pada 2007, empat anak termasuk Hanis yang masih belajar memilih untuk tinggal dengan saya,” katanya di sini, semalam.
Azli yang tinggal di Taman Gadong Jaya, di sini, bimbang masa depan anaknya yang didakwa tidak bersekolah ketika dijaga bekas isteri.
Orang ramai yang mengetahui maklumat anak dan isterinya itu boleh menghubungi Azli di talian 016-6107607/016-2317057 atau balai polis berdekatan.
