Dr. Lo’ Lo’KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo‘Lo’ Mohd. Ghazali meninggal dunia di Hospital Selayang dekat sini malam ini, akibat penyakit kanser.
Allahyarham yang merupakan doktor perubatan berusia 54 tahun, disahkan meninggal dunia pukul 10.15 malam.
Anak saudara Allahyarham yang juga pembantu peribadinya, Ehsan Mohd. Surur berkata, Lo’ Lo’ menderita penyakit barah paru-paru sejak beberapa tahun lalu.
‘‘Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital itu selepas beberapa hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi,’’ katanya ketika dihubungi malam ini.
Allahyarham Lo’ Lo’ meninggalkan suami, Prof. Madya Dr. Aminuddin Abd. Hamid Karim dan empat anak.
Allahyarham merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan AJK Dewan Muslimat Pas Pusat.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, Lo’ Lo’ memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa selepas menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir dengan majoriti sebanyak 1,972 undi.
