Dana hasil penjualan buku, yang menampilkan 20 tokoh agama Islam di Singapura yang telah berpulang, akan disalurkan bagi dana kajian Dokumentasi Penyelidikan Warisan Dakwah Islam di SingapuraSINGAPURA - HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Namun, bagi para asatizah dan ulama, mereka bukan sekadar meninggalkan nama malah ilmu yang membawa manfaat kepada masyarakat.
Atas dasar itulah, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas) bersama Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), merintis usaha merakam kisah hidup dan sumbangan 20 tokoh agama Islam di Singapura melalui buku Obor Ummah - Jejak Tokoh Agama Islam di Singapura.
Buku itu merupakan yang pertama daripada projek Dokumentasi Penyelidikan Warisan Dakwah Islam di sini dan telah dilancarkan Menteri Negara (Ehwal dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Auditorium Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), semalam.
Dalam ucapannya semasa acara itu, Encik Masagos melahirkan harapan agar buku itu bakal menjadi dokumen rujukan bagi masyarakat Islam Singapura dan juga sebagai motivasi kepada para asatizah masa kini memikirkan bagaimanakah mereka dapat menyumbang dan menjadi tokoh agama yang disegani seperti tokoh yang ditampilkan dalam buku itu.
Antara tokoh agama yang ditampilkan dalam buku pertama itu termasuk Allahyarham Habib Nuh Muhammad Al-Habsyi, Allahyarham Maulana Shah Muhammad Abdul Aleem Siddique, Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, Allahyarham Ustaz Embek Ali dan Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri.
Menurut Ketua Penyelaras Projek Dokumentasi Ulama itu, Ustaz Mohd Jakfar Embek, usaha mengkaji dan mengumpul maklumat tentang tokoh-tokoh agama telah dimulakan sejak 2007.
'Kajian kami tidak terbatas kepada 20 tokoh agama yang telah ditampilkan sahaja. Malah, kami juga mempunyai senarai tokoh-tokoh agama Islam lain yang sudah kami wawancara dan kumpulkan bahan kajiannya dan akan ditampilkan dalam buku selanjutnya,' ujarnya.
Tambahnya, Pergas dan LBKM berharap buku selanjutnya dapat diterbitkan pada penghujung tahun depan atau awal 2013, di mana 20 tokoh agama Islam yang lain pula akan ditampilkan.
Menyentuh cabaran menghasilkan buku itu, Ustaz Jakfar berkata memastikan semua maklumat yang terkandung dalam buku itu adalah sahih merupakan cabaran terbesar yang perlu dilalui.
'Kami banyak lakukan semakan silang dan cuba dapatkan pengesahan daripada anggota keluarga atau anak-anak murid mereka, selain merujuk kepada pelbagai bahan rujukan, untuk pastikan maklumat yang diterbitkan tepat,' ujarnya, yang juga ketua Jabatan Dakwah, Penyelidikan dan Latihan, Pergas.
