
MARANG - Seorang pemungut madu lebah cedera parah apabila terjatuh dari pokok yang dipanjatnya untuk mengambil madu di Kampung Kelubi, Tok Fakir, Merchang di sini petang semalam.
Mangsa Khairul Mat Tahir, 24, dari Kampung Pasir Puteh, Merchang, cedera parah di bahagian pinggang setelah terjatuh pada ketinggian 35 kaki dari pokok yang dipanjatnya kira-kira pukul 1 petang semalam.
"Mangsa dikatakan ingin mengambil madu lebah yang bersarang di atas pokok akasia magium setinggi 40 kaki.
"Bagaimanapun difahamkan beliau kehabisan tenaga ketika sampai di ketinggian 35 kaki, lalu jatuh mengelongsor mengikut batang pokok berkenaan," kata Pengerusi Koperasi Madu Lebah Terengganu Bhd (Kopemat) Ibrahim Ismail di sini hari ini.
Katanya pasukan Bomba dan Penyelamat yang dihuhungi mengambil masa yang agak lama untuk sampai di tempat kejadian kerana tidak dapat mengesan lokasi mangsa jatuh.
Manakala rakannya tidak berani keluar meminta pertolongan kerana bimbangkan mangsa bersendirian di kawasan itu.
Beliau berkata, mangsa berjaya diselamatkan kira-kira pukul 4 petang serta dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapat rawatan.
