Foto hiasan.
SINGAPURA - ISU bau masakan kari yang melibatkan dua jiran adalah satu kes terasing yang telah diselesaikan beberapa tahun yang lalu dan tidak perlu diperbesar-besarkan.
Malah warga Singapura juga tidak mahu isu bau masakan kari yang menjadi punca pertelingkahan antara dua keluarga berjiran dianggap sebagai satu pertelingkahan antara rakyat Singapura dengan rakyat asing.
Namun dalam masa yang sama, rakyat setempat mahu rakyat asing yang bermukim di sini berusaha menyesuaikan diri kepada cara hidup serta kepelbagaian budaya di negara ini.
Itulah rata-ratanya reaksi isu bau masakan kari yang menjadi punca pertelingkahan antara dua keluarga berjiran - sebuah keluarga berbangsa India dan sebuah keluarga dari China yang baru berhijrah ke Singapura - yang telah dibawa ke Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC).
Kes itu dikatakan diselesaikan setelah keluarga India tersebut setuju akan memasak kari hanya apabila jirannya itu tiada di rumah, dengan syarat jirannya itu mencuba dahulu lauk karinya.
Dalam satu sidang akhbar kelmarin, Menteri Undang-Undang, Encik K Shanmugam, menjelaskan bahawa kes itu berlaku enam atau tujuh tahun lalu dan penyelesaian itu dicapai hasil kata muafakat kedua-dua pihak sendiri.
Beliau telah menyentuh isu tersebut yang telah menimbulkan kemarahan ramai warga Singapura berbilang bangsa, terutama sekali di kalangan warga Internet, sehingga dilancarkan satu kempen menerusi Facebook 'Mari Memasak Seperiuk Kari' Ahad ini.
Bagi pelatih pertuturan dan drama,Cik Meera Abdul, 23 tahun, kempen tersebut dilihat hanya satu kesempatan orang ramai untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap rakyat asing yang terpendam sejak sekian lama.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) Fuchun, Encik Yahya Hamid, 54 tahun, pula berkata:
'Saya juga ingin melihat lebih ramai warga asing memahami cara hidup kita di sini. Ada usaha yang dijalankan tetapi saya rasa perlu ditingkatkan lagi.'
Setiausaha Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC), Encik Satwant Singh, pula menganjurkan rakyat Singapura mengambil sikap membuang air yang keruh, ambil yang jernih.
'Lagipun, ini bukan isu rakyat Singapura menentang rakyat asing... Ini soal menghormati budaya lain bukan sahaja antara rakyat Singapura dan rakyat asing, malah sesama rakyat Singapura sendiri,' kata Encik Singh, 47 tahun.
