BUKIT PALAH - Seorang pesakit yang dibawa ambulans apabila ia dirempuh sebuah teksi dalam kemalangan lewat petang Isnin lalu, meninggal dunia di Hospital Melaka, di sini, selepas dua hari tidak sedarkan diri.
Maryam Baba, 73, yang sebelum kemalangan itu cedera parah ditetak di kepala dalam satu kejadian samun dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Mangsa terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mendapatkan pemeriksaan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Anak bongsu mangsa, Zaidi Senan, 43, berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir jam 9.10 pagi setelah tidak sedarkan diri selepas ditetak di rumahnya di Bukit Rambai, dekat sini, pagi Isnin lalu.
“Saya reda pemergian emak tetapi sedikit kesal dengan kemalangan yang berlaku dan terkilan kerana saya sangka, emak dapat diselamatkan.
“Namun lain pula yang terjadi apabila ambulans dinaiki terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang, sebuah ambulans dalam perjalanan ke HKL itu turut dinaiki seorang doktor dan jururawat, dilanggar pada tepi di bahagian belakang oleh sebuah teksi sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu terbalik.
Doktor berusia 25 tahun parah di kepala dan dirujuk ke HKL, sementara seorang jururawat, Yuhanis Yasin, 30, ditempatkan di ICU.
Bagaimanapun, pemandu ambulans, Bambang Rudy Hartono, 41 dan atendan, Samad Ontok, 56, yang turut menaiki ambulans itu serta pemandu teksi, Ali Muhammad Don, hanya cedera ringan.
