Sebuah masjid yang terdapat di negara Singapura.
SINGAPURA - SEORANG pemuda meminta maaf atas komennya yang mempersoalkan mengapa restoran McDonald's memainkan siaran azan 'waktu makan malam'.
Komen oleh pemuda bernama Alex Chang itu yang ditulis pada laman Facebook McDonald's Rabu lalu telah menimbulkan bidasan dan kemarahan ramai.
Namun Encik Chang telah pun meminta maaf di laman tersebut semalam.
'Saya ingin meminta maaf atas komen yang dibuat di laman McDonald's. Ia bukan kenyataan perkauman hingga menyinggung perasaan ramai orang, termasuk rakan-rakan Melayu kita. Maaf atas kejahilan saya,' katanya.
Komen awal Encik Chang mengundang ramai menegurnya, termasuk individu Muslim dan yang beragama lain - yang menganggap beliau 'tidak peka dengan keadaan masyarakat berbilang kaum di sini'.
Dalam komen asalnya itu, Encik Chang turut bertanya apakah beliau juga boleh 'meminta disiarkan dikir (chant) Buddha pada Hari Vesak?'.
Ketika ditanya wartawan, McDonald's berkata bahawa ia telah memadam komen-komen yang dianggapnya tidak sesuai daripada laman Facebooknya,
McDonald's menegaskan bahawa ia menghormati semua kaum dan agama secara saksama.
Ia menggesa kesemua pengikut laman Facebooknya supaya mengamalkan toleransi dan saling menghormati satu sama lain.
McDonald's menjelaskan bahawa ia mengamalkan senarai siaran muzik di restoran-restorannya, dan mendapat maklum balas bahawa sebilangan kecil restorannya mungkin telah menyiarkan siaran stesen radio lain, dan ia telah mengingatkan restoran-restoran supaya mengikut senarai lagu yang ditetapkan.
Encik Chang dikatakan bekerja di SingTel. Tanpa merujuk insiden tersebut secara khusus, syarikat itu semalam mengeluarkan kenyataan melahirkan rasa kecewa di atas 'tindakan seorang pekerjanya'.
'Kami kecewa seorang pekerja kami mengirim kenyataan yang dianggap tidak wajar dan kami sedang memberi kaunseling kepadanya,' ujar SingTel dalam kenyataannya itu.
